Sunday, November 1, 2009

Isu Pas: Nik Aziz Menangis Lagi, Kumpulan Erdogan Terus KempunanPosted on Thursday, October 29 @ 15:56:49 MYT Topic: Berita Terkini

Oleh Ustaz Hj Mohd Afandi Yusoff

Ramai penganalisis politik telah menjangkakan apa yang akan berlaku dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat semalam, seperti dijangka Pas telah mengumumkan bahawa isu EGM telah selesai dan tidak akan berbangkit lagi.
Walau apapun pengumuman dibuat, adalah amat sukar untuk parti itu menangani “unsur-unsur perpecahan dalaman yang tidak tentu arah” itu. Bukan senang untuk mengenepikan golongan Hadi atau “Kumpulan Presiden”.
Ini kerana Kumpulan Presiden amat berpengaruh, sehingga hasrat Datuk Nik Aziz untuk bertanding jawatan Presiden pada Muktamar Agung Pas yang lalu, natijahnya beliau hanya mendapat satu pencalonan sahaja, lebih-lebih lagi setiap Pesuruhjaya Pas Negeri adalah dilantik oleh Presiden. Sudah tentu, hal ini amat memilukan hati “Kumpulan Erdogan” antaranya Datuk Nik Aziz, Husam Musa, Kamarudin Jaafar, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Hatta Ramli, Khalid Samad, Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, ini antara penyokong kuat Anwar Ibrahim dalam Pas sudah tentu merasa dukucita apabila EGM untuk menyingkirkan Hadi dan beberapa “individu bermasalah” tidak tercapai.
Harapan mereka agar dengan berlakunya EGM, sekurang-kurangnya kumpulan Erdogan dapat mengambil alih tempat-tempat penting yang bakal ditinggalkan oleh kumpulan Hadi. Walau apapun berlaku, ada pihak berpendapat, bahawa gesaan Datuk Nik Aziz supaya Pas mengadakan EGM mempunyai asasnya.
Selagi ada dua tiga kerat pemimpin bermasalah yang “bermain kayu tiga” antara pro- BN dan pro-PR sudah tentu akan mewujudkan suasana tidak harmoni di kalangan ahli Pas, lebih-lebih lagi akan wujud perasaan syak wasangka, was-was sesama sendiri, kerana musuh dalam selimut ibarat “talam dua muka” dianggap lebih merbahaya daripada musuh yang nyata. Yang akhirnya akan membinasakan Pas itu sendiri. Ada juga berpendapat, bahawa gesaan Nik Aziz tempohari adalah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu dalam PR yang ingin melihat Pas tidak menjadi parti dominan dalam Pakatan.
Caranya ialah melaga-lagakan antara dua kumpulan yang bertelagah ini, agar dengan wujud pergaduhan dan perebutan kuasa, Pas akan lemah dan tidak mampu bersuara lantang menuntut haknya dalam PR, natijahnya Pas hanya layak menjadi parti ketiga dalam Pakatan Rakyat. Tindakan “Kumpulan Hadi” untuk bersama dengan UMNO sebelum ini adalah satu tindakan yang bijak, satu tindakan yang penuh kesedaran dan keinsafan, demi kepentingan perjuangan Melayu dan Islam, kerana beliau bimbang dengan perjuangan Pas yang sudah terbukti tersasar jauh.
Pas sebelum ini hanya bersorak dan bertakbir di atas kemenangan besar pada PRU ke12, tetapi hasil mahsul atau harta ghanimah yang diperlolehi selepas kemenangan itu dibalun oleh pihak lain.
Rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat membalun dan menguasai, serta mengawal segala perancangan di peringkat pusat, khususnya hal ehwal yang melibatkan kuasa dan projek. Oleh itu, seminar politik yang bakal diadakan pada 7 November depan, mungkin tidak dapat merungkaikan segala permasalahan sebenar yang dihadapi.
Seminar politik tersebut boleh dianggap sebagai salah satu langkah untuk meredakan keadaan yang kini memuncak di semua peringkat, gerakan jatuh menjatuh antara kumpulan Erdogan dan kumpulan presiden, yang selama ini disembunyikan oleh Pas , kini mula terbongkar.
Tindakan mereka boleh di ibarat “menyembunyikan bau durian atau bau ikan pekasam” kerana benda busuk akhirnya akan dapat dihidu jua oleh rakyat

Penulis Ialah Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment